Riak wajah ceria mereka jelas terpancar selepas kerajaan Selangor berusaha menyiapkan projek perumahan itu, yang terbengkalai sejak tahun 2003.
"Siapa yang tidak suka. Inilah saat yang diidam-idamkan," kata Norziah Nurajin yang ditemui sebelum perasmian program pemulihan perumahan terbengkalai di Hulu Kelang pagi ini.
Pelancaran program tersebut disempurnakan oleh Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim di Taman Ukay Bistari.
Beliau turut menyampaikan kunci rumah kepada penduduk di Hulu Kelang dan Puchong yang berjaya memiliki rumah melalui skim pemulihan perumahan terbengkalai di negeri itu.
Kira-kira 300 hadirin termasuk pembeli dari taman berkenaan dan dari Saujana Puchong hadir dalam majlis tersebut.
Norziah, 52, yang sebelum ini merupakan penduduk setinggan di Kampung Pasir Tambahan, melahirkan rasa gembira dan tersenyum apabila dia menerima kunci rumahnya selepas tujuh tahun menunggu.
Sementara seorang lagi pembeli Haliza Che Harun turut melahirkan rasa yang sama dengan Norziah selepas lama menunggu untuk menduduki di rumah sendiri.
Haliza, 40, yang dite
Menurutnya beliau akan berpindah dari rumah sewanya di Taman Permata dekat Hulu Kelang, selepas menerima kunci daripada kerajaan negeri.
Manakala Abu Samat Abdul Razak, 40, mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Selangor yang berusaha untuk membantu penduduk di taman itu menyiapkan rumah mereka yang terbengkalai sejak 2003.
Beliau juga menempelak kerajaan terdahulu yang menurutnya "tidak membantu rakyat" untuk menyiapkan rumah mereka yang terbengkalai.
"Kerajaan sebelum ini banyak tidur. Tidak membantu rakyat. Rumah banyak terbengkalai. Mereka menipu rakyat sebelum pilihan raya. Selepas pilihan raya, mereka tidur," katanya ketika ditemui di majlis tersebut.
Abu Samat yang ketika ini menetap di Pangsapuri Sri Nilam di Ampang berkata sebelum ini beliau risau selepas tiga pemaju masih gagal menyiapkan pangsapuri tersebut.
Bagaimanapun beliau berasa lega kerana pemaju yang dilantik oleh Pakatan Rakyat dapat berbuat demikian.
"Pakatan Rakyat betul-betul membantu rakyat," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk di situ memberi reaksi yang berbeza apabila tidak berpuas hati kerana ketiadaan bekalan air dan lif yang tidak berfungsi.
Aminah Othman, 46, yang ditemui Malaysiakini selepas pelancaran program tersebut berkata walaupun berbangga dengan kehadiran ketua pembangkang tetapi masalah tersebut harus diselesaikan segera.
Aminah yang sudah mendiami rumahnya kira-kira sebulan yang lalu, kerana mendakwa pemaju tidak membayar sewa kepada pemilik rumah yang disewanya, berharap kerajaan Selangor bertindak segera untuk menyelesaikan masalah bekalan air dan lif yang tidak berfungsi
Sementara itu, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Ir Iskandar Samad ketika ditemui pemberita, berjanji pihaknya akan menyelesaikan masalah tersebut dalam masa seminggu.
"Penduduk tidak akan masuk selagi tidak lengkap dengan kemudahan ini," katanya.
Taman Ukay Bistari dan Saujana Puchong adalah antara 141 kawasan perumahan yang terbengkalai di negeri terbabit yang membabitkan kos pemulihan projek berkenaan dianggarkan bejumlah RM 5 bilion merangkumi hampir 5,000 unit rumah.
Program itu diselia oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib dan dijalankan melalui sumbangan modal dan kepakaran dari syarikat swasta.
Jawatankuasa itu pula diletakkan di bawah jawatankuasa induk yang turut
dianggotai exco perumahan, pihak berkuasa tempatan dan juga wakil penduduk.
Katanya kerajaan Selangor akan berusaha untuk mempercepatkan projek terbengkalai di Selangor walaupun beliau tidak menjanjikan keseluruhannya pada tahun ini.
"Kita tidak menjanjikan (semua projek terbengkalai) untuk siap dalam tahun ini, tapi kita ikhlas (menolong) memberi tempat (kepada pembeli).
"Kita berjanji, tidak ada habuan wang daripada pemaju dan kita tidak akan mengkhianati rakyat," katanya.
Dalam ucapannya juga Anwar yang juga ketua umum PKR menjelaskan masalah projek perumahan terbengkalai juga mempunyai kaitan dengan keadaan ekonomi di negara ini.
"Ekonomi kita tidak berada dalam keadaan kukuh. Pelabur tidak yakin dengan institusi dan sistem (di Malaysia). Suatu ketika dahulu pertumbuhan ekonomi negara kita mengatasi negara seperti Singapura dan Thailand.
"Dan dari segi persaingan ekonomi, kita berada di tangga kedua, tapi sekarang kita masih rendah. Ini berpunca daripada kurang upaya pemimpin negara untuk meyakinkan pelabur luar untuk menguruskan ekonomi negara," kata Anwar yang juga bekas menteri kewangan.
Dalam ucapan itu juga, Anwar menyatakan berjanji akan mendapatkan sijil pengesahan penduduk (CF) di projek perumahan Taman Ukay Bistari minggu hadapan.
"CF belum dapat lagi, hanya (sijil) sementara sahaja daripada Majlis
Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). Kalau Isnin ini dapat surat, minggu itu juga diluluskan. Kalau tidak lulus, saya akan turun lagi. Saya berjanji," katanya.
Kata Iskandar yang juga timbalan pesuruhajaya PAS Selangor berkata, jawatankuasa tersebut sebenarnya mempunyai tanggungjawab penuh kepada kepadanya selaku exco yang terlibat.
"Segala apa yang dilakukan akan dilaporkan kepada Exco dan perlu juga mendapat kebenaran daripada saya terlebih dahulu," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab ucapan wakil persatuan penduduk Taman Ukay Bistari, yang dikenali Dr Rafick yang berucap sebelum itu yang menyatakan jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri adalah "organiasasi longgar" dan "tidak ada gigi" kerana tidak berada di bawah agensi kerajaan.
Dr Rafick berharap kerajaan Selangor dari Pakatan Rakyat berperanan sebagai satu kerajaan yang lebih baik daripada kerajaan terdahulu.
"Kerajaan kini, jika tidak selesai masalah rakyat dan (mengambil kira)
pandangan orang ramai, maka ia tidak banyak beza dengan kerajaan sebelum ini. Tunjukkan keyakinan kepada rakyat," katanya.
0 Komen:
Post a Comment