JK Disiplin: Penjelasan berhubung pertuduhan

Tuesday, February 2, 2010
www.khalidsamad.com
Saya telah dimaklumkan bahawa ramai yang tidak mengetahui pertuduhan yang telah dikenakan ke atas diri saya oleh Dewan Harian Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor yang dimajukan kepada JK Disiplin. Oleh itu macam-macam andaian telah diutarakan melalui beberapa blog, e-mail dan SMS yang diterima.

Oleh yang demikian, demi mengelak berlakunya kekeliruan dan fitnah yang lebih besar, maka saya ketengahkan tuduhan-tuduhan tersebut sepertimana ianya dikemukakan kepada saya.

Saya sebutkan juga jawapan saya terhadap tuduhan-tuduhan berkenaan, secara ringkas, bukan sebagai kritikan, bantahan atau mempersoalkan keputusan yang telah dibuat oleh JK Disiplin, tetapi demi menjelaskan keadaan sebenar. Ianya juga akan menjadikan proses ‘perbicaraan’ diri saya lebih telus, supaya semua yang mengikuti persoalan ini dapat menilai proses berkenaan dan keadilan keputusannya.

Sebagai parti arus perdana, PAS mesti mampu menzahirkan keadilan dalam setiap tindakannya dan juga mempertahankannya sekiranya dipertikai. Bukan sekadar oleh ahli tetapi oleh anggota masyarakat keseluruhannya.


Mad’u yang ramainya di luar sana tidak boleh diyakinkan hanya dengan menyebut kalimah wala’. Perkara inilah yang kadang kala terlupa oleh PAS sendiri. PAS bukan lagi parti pinggiran yang tidak dihiraukan oleh semua kelompok masyarakat.

PAS merupakan parti arus perdana yang menawarkan diri sebagai alternatif kepada UMNO. Rakyat dan bukan hanya ahli, ingin melihat bagaimana kita bertindak dalam semua hal, termasuk cara PAS menegakkan keadilan di kalangan ahlinya.

Oleh itu ketelusan adalah amat penting dan perlu diamalkan. Keadilan bukan sekadar perlu dilaksana tetapi juga perlu dilihat terlaksana.

Sebenarnya, Dewan Harian Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor telah mengemukakan tidak kurang dari 8 tuduhan terhadap diri saya tetapi hanya dua sahaja telah diterima sebagai ‘berasas’ oleh JK Disiplin.

Aduan ini telah dilakukan oleh Dewan Harian tanpa membincangnya dalam mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor itu sendiri.

Dato PJ dengan mereka yang beliau sendiri lantik mengambil tindakan ini tanpa merujukkannya kepada BPPNS. Oleh itu, kalau ditanya YDP Kawasan, saya pasti semua tidak tahu apa tuduhan-tuduhan tersebut.

Dua tuduhan yang dianggap berasas dan jawapan balas saya terhadap tuduhan-tuduhan berkenaan adalah seperti berikut:

1. PERTUDUHAN PERTAMA


“BAHAWA kamu Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad, sebagai seorang ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS) No. 126504 telah dengan secara salah, dengan sengaja dan dengan pengetahuan dan tanpa hak, mempertikaikan kekuasaan dan kedudukan Pesuruhjaya (PJ) PAS Negeri Selangor dalam membuat kenyataan berkait dengan tatacara pendengaran Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) Negeri Selangor dengan membuat desakan perletakan jawatan olehnya sedangkan sebagai PJ beliau memiliki hak istimewa (privilege) untuk berbuat demikian dan PJ adalah dilantik oleh Presiden Parti dan perbuatan itu kamu telah mencampuri urusan Presiden Parti dan hak bidangkuasa PJ dan dengan itu kamu dianggap telah melakukan satu kesalahan di bawah Fasal 34 (4) Perlembagaan PAS dan jika didapati bersalah boleh dihukum dibawah Fasal 75 (5) Perlembagaan PAS”.


Jawapan Saya Kepada JK Disiplin Berhubung Pertuduhan Pertama ialah:


a) Saya menyatakan bahawa pertuduhan tersebut tidak tepat kerana saya tidak mendesak beliau meletak jawatan sebagai PJ. Saya sekadar menyatakan bahawa beliau sepatutnya meletak jawatan sebagai exco dan menjadi seorang ‘back-bencher’ sekiranya beliau ingin mengkritik kerajaan PR Selangor. Ini adalah lebih wajar, lebih-lebih lagi apabila beliau sendiri menyatakan teguran beliau dibuat dalam kapasitinya sebagai seorang exco dan bukan sebagai PJ PAS Selangor.

b) Saya juga menyatakan bahawa saya meminta pimpinan PAS untuk menilai prestasi beliau sebagai PJ dan saya tidak mendesak beliau letak jawatan sebagai PJ. Saya faham bahawa PJ dilantik oleh Presiden namun sebagai seorang ahli BPPNS saya merasakan diri saya berhak untuk meminta prestasi PJ dinilai. Lebih lebih lagi apabila mandat yang diberikan kepada beliau melalui Muktamar adalah untuk mengukuhkan PR di Selangor dan beliau jelas tidak melaksanakan amanah tersebut.

c) Saya turut menjelaskan bahawa saya telah keluarkan kenyataan membantah kenyataan PJ yang menyalahi semangat kerjasama PR. Ianya adalah demi membela dan menegakkan prinsip setiakawan PAS bersama PR. Ini merupakan tanggung jawab saya sebagai ahli PAS yang menerima keputusan Muktamar supaya PR dikukuhkan.

d) Saya turut bertanya samada mengkritik PJ dalam tindakannya yang bercanggah dengan keputusan muktamar adalah satu kesalahan. Soalan ini dijawab oleh salah seorang JK Disiplin dengan mengatakan bahawa itu adalah untuk JK Disiplin menentukan.

2. PERTUDUHAN KEDUA


“Bahawa kamu, Tuan Haji Khalid bin Abdul Samad, sebagai seorang ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS) No. 0126504 telah dengan secara salah, dengan sedar dan pengetahuan mendedahkan rahsia Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor yang bertarikh 27hb September 2009 jam 3.30 petang melalui Blog peribadi dan dengan itu kamu dianggap telah melakukan kesalahan di bawah Fasal 75 (1)(e) Perlembagaan PAS dan jika didapati bersalah boleh dihukum di bawah Fasal 75 (5) Perlembagaan PAS”.

Jawapan Saya Kepada JK Disiplin Berhubung Pertuduhan Kedua ialah:

a) Saya bertanya apakah definasi ‘rahsia’. Saya turut menyebut bahawa sekiranya semua yang disebut dalam mesyuarat adalah rahsia, maka jelas saya bersalah, saya tidak beranggapan begitu. Apa yang ditulis dalam blog saya adalah pandangan saya berhubung isu berkenaan dan oleh itu saya tidak menganggapnya sebagai ‘rahsia’ parti dan semenjak bila pula pandangan seseorang ahli dianggap rahsia parti?

b) Saya minta diberitahu apakah ‘rahsia mesyuarat BPPNS’ yang telah saya dedahkan tetapi saya tidak mendapat jawapan hingga ke hari ini. Sekiranya ianya berhubung tarikh, waktu dan tempat mesyuarat tersebut diadakan, ianya telah lama diketahui umum kerana wartawan telah hadir untuk Dewan Harian mengadakan PC sebaik sahaja mesyuarat tersebut selesai.

Mungkin kenyataan saya “bahawa sekiranya semua yang disebut dalam mesyuarat adalah rahsia, maka jelas saya bersalah” dianggap sebagai pengakuan kesalahan oleh Dato Tuan Ibrahim. Maka inilah yang menyebabkan beliau memaklumkan Malaysiakini bahawa saya sendiri mengaku bersalah, tetapi hakikat sebenarnya ia bukan satu pengakuan, tetapi sebaliknya merupakan satu soalan. Ini kerana, sekiranya semua perkara di dalam mesyuarat dianggap rahsia, maka saya kira sebahagian besar yang terlibat dalam mesyuarat PAS peringkat Pusat ataupun Negeri akan mendapati diri mereka telah melanggar displin parti.

Begitu juga dengan kenyataan beliau kepada Malaysiakini bahawa saluran dalaman perlu digunakan sekiranya ada yang tidak puas hati. Hakikatnya saya telah menggunakan saluran dalaman sejak dari awal 2008. Hasil menggunakan saluran dalaman adalah pemecatan diri saya sebagai TPJ Negeri Selangor. Selepas itu saya membuat beberapa aduan kepada pimpinan Pusat termasuk surat kepada DS Presiden tetapi malangnya tiada apa-apa tindakan ataupun maklum balas. Akhirnya berlaku peristiwa SelCAT dan EGM dicadangkan oleh TGNA untuk menapis keluar golongan anti-PR. Cadangan EGM ini ditukar kepada JK Disiplin dan inilah kesudahannya. Terpulang pada semua untuk menilai samada keputusan ini memenuhi hasrat EGM yang dicadangkan oleh TGNA. Sekiranya ‘ya’ maka Alhamdulillah. Sekiranya tidak, maka apakah persoalan EGM perlu dihidupkan kembali? Itu, fikirkan sendiri. Saya hanyalah sekadar ahli biasa.

Dalam mendengar jawapan saya kepada kedua-dua pertuduhan seperti di atas, pihak JK Disiplin tidak memberi indikasi samada jawapan tersebut dipersetujui atau sebaliknya. Mereka hanya mencatit tanpa sebarang respon dan soalan yang diajukan oleh mereka adalah sekadar untuk mendapat penjelasan berhubung sikap serta tindakan saya tanpa menyatakan persetujuan mereka atau sebaliknya.

Saya kemukakan pertuduhan dan jawapan saya untuk makluman umum kerana isu ini telahpun menjadi isu yang dibincang oleh ramai. Dengan maklumat ini semoga perbincangan ini akan lebih tepat kerana berasaskan maklumat dan bukan andaian. Ianya bukan soal SYABAS atau Puncak Niaga seperti yang disebut oleh beberapa bloggers, walaupun itu tetap merupakan persoalan yang masih belum dijawab.

Saya sama sekali tidak bertujuan membantah keputusan JK Disiplin dan saya harap tulisan ini tidak pula dianggap sebagai bantahan atau pendedahan ‘rahsia’ parti. Keputusan diterima dan saya akur dengannya. Saya yakin semua yang terlibat menyedari tanggung jawab mereka terhadap Allah dan tiada niat untuk menzalimi diri saya. Keadilan mesti dilakukan walaupun terhadap seorang musuh, apatah lagi terhadap seorang rakan perjuangan. Saya sendiri telah berpesan kepada Dato Tuan Ibrahim sebelum ini, “kalau saya bersalah, hukumilah saya dan jangan benarkan persahabatan kita menyebabkan Dato terpesong dari melakukan keadilan dan begitu jugalah hendaknya terhadap Dato PJ”. Maka, saya amat berharap itulah yang telah diusahakan beliau.

Berhubung soal rayuan, saya rasa semakin tidak berminat. Biarlah saya merayu kepada yang Maha Mendengar akan segala rayuan dan yang Maha Mengetahui akan kebenaran setiap satu rayuan. Memadailah saya merayu hanya kepada Allah, di depan rumahNya, insyaAllah. “HasbiyaAllah”. Semoga Dia selamatkan PAS dari golongan yang beragenda dan berkepentingan, sekiranya golongan seperti itu ada di dalam parti ini. Semoga Dia gagalkan agenda mereka ini serta melenyapkan pengaruh mereka selama-lamanya. Amin yaa Rabbul ‘aalamiin.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

3 Komen:

Anonymous said...

Dah la tu YB..Bawak2 berehat...Masa untuk merasa jadi ahli bawah pulak...

Anonymous said...

YB ni suka meleret2 la..Benda dah nak reda saje je nak bikin havoc baru..pening aku dgn karenah dia sorang nih....

amat said...

Aku dah naik nyampah dgn yb ni..mula2 tu suka la aku dgn dia..lama-lama makin ngada2...dia nak suruh kita buat demo untuk dia ke ape? cakap tak abis2....

Post a Comment

ADUAN MASALAH

Nama
Emel
Telefon
Aduan
Image Verification
captcha
Sila Masukkan Teks dari Imej Di Sebelah: [ Refresh Image ] [ What's This? ]

HANTAR ARTIKEL

Tajuk
Pengirim
Artikel
Image Verification
captcha
Sila Masukkan Teks dari Imej Di Sebelah: [ Refresh Image ] [ What's This? ]

DAFTAR DENGAN DEWAN PEMUDA PAS SHAH ALAM


Sila Isi Maklumat dibawah untuk mendaftarkan diri anda secara online dengan Dewan Pemuda PAS Kawasan Shah Alam. Khidmat anda amat diperlukan bagi memperteguhkan perjuangan yang mulia ini.
Nama
Emel
Alamat (R)
Alamat (P)
Telefon
Status
Perancangan
Blog/Website
Image Verification
captcha
Sila Masukkan Teks dari Imej Di Sebelah: [ Refresh Image ] [ What's This? ]