Ust Nasruddin Hasan Tantawi
1. Keputusan mahkamah yang membenarkan sebuah akhbar [ Herald ] menggunakan kalimah Allah swt telah mencetus polemik dikalangan masyarakat dalam negara kita . Keadaan kelihatan tegang antara penganut ajaran Kristian dan ummat Islam .2. Saya mengharapkan semua pihak terlebih dahulu tidak mengambil tindakan terburu - buru dan diluar kawal dengan hanya berpandukan emosi khasnya kepada ummat Islam . Justeru , Islam adalah agama yang tetap benar dan utuh malah ia akan terus dipelihara dengan hujjah yang benar dan kuat .
3. Asalnya , agama Kristian [ Nasara ] , Yahudi dan Islam berkongsi Tuhan yang sama iaitu Allah swt. Tuhan yang satu dan Tuhan yang Maha Esa . Inilah jua yang termaktub di dalam Taurat dan Injil .
4. Namun Taurat dan Injil yang asal telah dipinda oleh para paderi dan pendita Yahudi sejak lama dulu sehingga menghasilkan Injil Barnaba , Injil Matthew dan sebagainya . Semenjak itu mereka menyengutukan [ mensyirikkan ] Allah swt Tuhan yang Maha Esa dengan menganggap ada tuhan lain selain Allah seperti tuhan anak , tuhan bapa dan tuhan ibu .
5. Konsep ketuhanan yang sedemikian adalah sangat bercanggah dengan Islam . Justeru Allah swt adalah Tuhan yang Esa . Tuhan yang Satu dan tiada Tuhan yang lain selain Allah yang layak disembah .
6. Sementara mana - mana pihak mahu mengambil tuhan yang lain sebagai tuhan mereka untuk di sembah adalah terpulang kepada keyakinan mereka dan itu menjadi hak mereka dalam beragama . Tetapi mereka tidak boleh menggunakan Lafzul Jalaalah [ Allah ] sebagai Tuhan dan diletakkan di dalam rumah - rumah ibadah mereka untuk disekutukan , kerana ia disifatkan satu penghinaan kepada ummat Islam yang meletakkan Allah swt sebagai Tuhan yang Esa yang tidak sekali - kali layak disekutukan dengan segala apa jua .
7. Saya bersetuju bahawa kalimah Allah swt boleh digunakan oleh sesiapa jua tanpa ia menjadi milik ekslusif ummat Islam , kerana Allah swt adalah Tuhan kepada seluruh ummat manusia . Tetapi penggunaan kalimah Allah itu mestilah benar dan tepat dengan keesaan Allah swt . Seperti mereka mengatakan Allah adalah Tuhan yang mencipta Alam dan Tuhan yang mencipta manusia , maka itu adalah perkataan yang benar dan mereka dibenarkan untuk berkata demikian sekalipun mereka bukan muslim .
8. Menggunakan kalimah Allah swt secara benar dan betul adalah tidak mengapa . Sebagaimana yang disebut di dalam al Quran , bagaimana golongan musyrikin apabila ditanya : [ siapakah yang menjadikan langit dan bumi serta menundukkan matahari dan bulan nescaya mereka menjawab Allah , maka mengapa mereka masih boleh dipalingkan daripada kebenaran .] Dalil ini bagi menegaskan tidak mengapa penggunaan kalimah Allah swt dengan maksud yang benar dan bertepatan dengan konsep ketuhanan Allah swt . tanpa mereka berpaling dari kebenaran itu .
9. Melalui pengamatan saya , aliran Kristian di negara - negara arab seperti Mesir meletakkan kalimah Allah di dalam gereja dan restoran - restoran mereka . Pengalaman saya dengan aliran Kristian di Mesir ini mendapati mereka sememangnya menganggap Allah swt adalah Tuhan yang menciptakan manusia dan memberi rezeki . Bahkan mereka menggunakan kalimah Allah swt sejak awal [ ribuan tahun ] yang lalu .
10. Situasi ini sangat berbeza dengan aliran Kristian yang lain seperti di barat mahupun di negara kita . Sejak awal mereka tidak pernah menggunakan kalimah Allah swt sebagai merujuk kepada tuhan yang mereka sembah di dalam upacara ibadat , penerbitan dan gereja - gereja mereka. Sebaliknya mereka sering menggunakan kalimah God sebagai tuhan mereka dan Jesus tatkala merujuk kepada Nabi Isa a.s .
11. Apabila timbul isu penggunaan kalimah Allah oleh akhbar Herald , ia suatu yang sangat asing maka ia mencetus kesangsian dikalangan ummat Islam . Apakah motif penggunaan kalimah tersebut ? Jika untuk tujuan ibadah , tidak pernah pula mereka menggunakan kalimah tersebut sebelum daripada ini . Inilah persoalan yang mesti diberikan penjelasan yang jujur dari pihak terbabit .
12. Kebimbangan ummat Islam adalah berasas . Penggunaan kalimah Allah tanpa motif yang jelas menimbulkan pelbagai prasangka . Apakah ini strategi mereka untuk menimbulkan kekeliruan dikalangan ummat Islam lalu memurtadkan mereka ? atau ini satu siri provokasi untuk menilai sensitiviti ummat Islam . Prasangka ini akan terus bersarang dan berlegar dalam jiwa ummat Islam .
13. Sikap saya jelas , jika mereka guna kalimah Allah secara salah , pasti mereka akan berdepan dengan penentangan dan kemarahan ummat Islam yang tidak rela Allah swt dipersenda dan diperlekehkan . Tetapi jika mereka menggunakan kalimah Allah dengan betul dan benar seperti menyebut bahawa Allah adalah Tuhan yang mencipta langit dan bumi , Allah adalah Tuhan yang mencipta manusia , Allah adalah tuhan yang memberi rezeki dan seumpamanya , maka itu tidak mengapa dan saya boleh bersetuju sekalipun yang melafazkan itu bukan muslim .
14. Menghormati mahkamah , Kementerian Dalam Negeri berhak membuat rayuan segera bagi membolehkan mahkamah mengkaji dan menyemak semula keputusan yang telah dibuat . Saya juga mengharapkan selepas ini , hakim yang mengendalikan kes mestilah juga hakim yang memahami kedudukan agama Islam dan Kristian di Malaysia . Campurtangan pihak Raja - Raja Melayu juga mungkin boleh meredakan keadaan yang kini kian panas dan tegang .
15. Insyaallah , bagi pihak Pemuda PAS senantiasa bersedia untuk berdialog dan berdepan dengan pelbagai pihak bagi menyelesaikan masaalah secara hujjah , tenang dan damai tanpa mencetus pergolakan antara agama . Kita juga melahirkan rasa kesal terhadap sikap kerajaan UMNO dan BN yang selama ini terlalu banyak mendiamkan diri dalam kes - kes yang mempersendakan Islam dan ummatnya .
0 Komen:
Post a Comment