Islam Mengajak Manusia Dengan Cara Damai - Presiden PAS

Wednesday, January 20, 2010
Berikut dilampirkan transkrip ucaptama Perasmian Taklimat Isu-Isu Semasa yang dianjurkan oleh Lajnah Penerangan PAS oleh Presiden PAS pada 10 Januari 2010 di Shah Alam;

Muqaddimah
Ayat Al-Qur’an dalam Surah Al-Hajj.
“Sesungguhnya Allah mempertahankan orang-orang yang beriman dan Allah tidak mengasihi orang-orang yang khianat lagi kufur, diizinkan kepada mereka yang diperangi, sesungguhnya mereka itu dizalimi. Dan Allah Maha Berkuasa untuk memberi pertolongan kepada mereka. Mereka itu ialah orang-orang yang dihalau dari kampung halaman tanah air mereka (di Makkah) iaitulah Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya. Tiada kesalahan yang mereka lakukan, mereka hanya mengatakan Tuhan yang mencipta dan mentadbir urusan kami ialah Allah. Dan kalaulah sekiranya Allah tidak menjadikan manusia itu pertembungan diantara golongan yang benar dan golongan yang salah, golongan yang adil dan golongan yang zalim, golongan yang baik dan golongan yang jahat. Nescaya dibinasakanlah rumah-rumah ibadat penganut agama Yahudi, gereja-gereja penganut agama Kristian, tempat-tempat sembahyang pelbagai agama dan masjid-masjid yang disebut didalamnya nama Allah. Dan demi sesungguhnya Allah menolong bagi sesiapa yang menolong bagi menegakkan agamaNya dan Allah itu Maha Kuat lagi Maha Perkasa. Orang-orang yang Kami berikan kuasa memerintah di muka bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mereka menyuruh kepada yang baik dan mereka mencegah kemungkaran, dan bagi Allah sahaja akibat segala urusan”.
Yang dihormati pengerusi majlis, YB Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Al-Fadhil Ketua Penerangan PAS Pusat, Yang Dihormati Ahli-Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, pimpinan daripada dewan-dewan ulama’, pemuda dan muslimat, pimpinan daripada negeri-negeri, pimpinan daripada jentera penerangan daripada seluruh pelusuk tanah air, para wartawan, para tetamu, hadirin dan hadirat yang dihormati dan dikasihi sekalian.
Bagi umat Islam baru sahaja mereka menyambut peristiwa hijrah Rasulullah SAW, peristiwa yang paling besar bagi sejarah umat Islam sehingga ia dicatit bagi permulaan tahun umat Islam. Peristiwa yang menjadi titik tolak yang sangat besar dalam sejarah umat Islam. Ia membawa mesej sejagat untuk seluruh manusia seantero dunia tanpa mengira masa, keadaan dan tempat. Peristiwa hijrah adalah menunaikan satu kewajiban yang besar dalam agama Islam, kewajiban politik, kewajiban mendirikan kerajaan yang memerintah dengan adil. Kerajaan bukan sahaja bagi penganut agama Islam bahkan bagi seluruh manusia. Walaupun dunia diperintah pada masa itu oleh dua kuasa besar dunia dan kuasa-kuasa besar lain, yang sangat hebat tamadunnya hanya dari segi kebendaan sahaja tanpa akhlak moral yang mulia walaupun dimasa itu sudah ada dua agama samawi, agama langit Yahudi dan Kristian disamping agama-agama ciptaan manusia dan pelbagai teori ciptaan ahli falsafah Greek , Yunani, China dan India, namun tidak merangkumi segala aspek yang penting bagi fitrah manusia ciptaan Allah SWT.

Maka bagi menyelamatkan manusia sejagat diakhir zaman sebelum berlakunya kiamat, dunia ini dimusnahkan. Islam mengajar adanya alam akhirat, hidup semula selepas dunia dimusnahkan. Dahulunya para saintis yang bertuhankan kebendaan menafikan adanya kiamat, hari ini mereka mengakui kiamat itu berlaku sehingga ada yg mencipta filem tahun 2012. Mereka sudah mengakui dunia akan musnah, berlaku kerosakan alam sejagat disebabkan perbuatan manusia sendiri. Al-Qur’an telah mengatakan 1400 tahun yang lalu.
“Telah zahir dengan terang dan nyata kemusnahan di darat dan di laut hasil kerja yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia sendiri, kerana tamak haloba, mereka melakukan kejahatan, perancangan yang tidak baik ,rasuah, salah pengurusan dan sebagainya. Maka berlakulah kemusnahan alam, bukan sahaja cuaca, perubahan musim, bahkan perangai manusia sendiri supaya dirasakan kepada mereka sebahagian daripada perbuatan mereka, mudah-mudahan mereka sedar dan insaf”.
Sebelum dunia ditamatkan, Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW. Nabi akhir zaman yang dijanjikan dalam Taurat, Injil bahkan ada dalam kalangan pengkaji-pengkaji perbandingan agama menyatakan ia disebut didalam Wida’, iaitu akan ada rasul akhir zaman. Bagi umat Islam, rasul akhir zaman itu ialah Muhammad SAW. Diberikan kepadanya mukjizat Al-Qur’an Karim iaitu kitab suci mukjizat. Bukan mukjizat perkara luar biasa seperti rasul-rasul di zaman dahulu. Al-Qur’an adalah mukjizat ilmu yang memandu manusia dalam seluruh kehidupan mereka. Diantaranya adalah keperluan politik, mendirikan negara dan pemerintahan, dan boleh memerintah manusia yang paling majmuk.
Allah Maha Mengetahui dunia akhir zaman akan mengalami kemajuan sains dan teknologi. Dunia yang dianggap luas sudah menjadi perkampungan yang kecil. Mereka memerlukan pemerintahan yang adil, boleh memerintah manusia yang paling majmuk. Maka hijrah adalah menunaikan kewajiban untuk mendirikan negara masyarakat majmuk yang terkandung didalamnya rakyat pelbagai kaum yang menganut pelbagai agama. Maka dilaksanakna pemerintahan Islam. Bermula dengan penyatuan antara Islam terlebih dahulu dikalangan Muhajirin dan Ansar iaitu mereka yang telah ditarbiyyah dan diajar selama 13 tahun. Bukan sahaja ditarbiyyah dan diajar dengan ilmu Al-Qur’an Karim dan kebijaksanaan Nabi Muhammad SAW, mereka diajar dan ditarbiyyah termasuklah dengan kezaliman-kezaliman yang dilakukan ke atas diri mereka. Mereka dipenjara, dibelasah, diserang, dipukul, difitnah bahkan ada yang mati. Itu adalah pengajaran dan tarbiyyah. Allah tidak menjadikan pemerintahan Islam itu ditubuhkan dalam sekelip mata walaupun Allah Maha Berkuasa untuk mencipta sesuatu dalam sekelip mata.
“Sesungguhnya urusan Allah itu apabila Dia nak menciptakan sesuatu hanya dengan firman, jadi maka jadilah apa yg dikehendakinya”
Maka dalam mendirikan negara Islam, Allah mendidik pendokongnya terlebih dahulu, mereka dibelasah, dizalimi dan dihentam. Mereka diajar bagaimana rasa dizalimi supaya apabila mereka memimpin dan memerintah kelak, mereka tidak menzalimi orang lain. Apabila para sahabat yang dipimpin oleh Khabbab Al-Arad RA menemui Rasulullah SAW mengadu, “Wahai Rasulullah, mengapa tidak berdoa supaya menang cepat, mengapa tidak berdoa supaya dibinasakan atau dibalakan musuh-musuh itu?” Jawab Rasulullah SAW, “Wahai Khabbab, sesungguhnya umat yang terdahulu bersama dengan rasul-rasul mereka, ada diantara mereka yang ditimbus hidup-hidup, ada diantara mereka yang dibelah dengan gergaji sehingga kedua jasad yang dibelah itu gugur ke bumi, ada dikalangan mereka yang disikat dengan sikat besi sehingga luruh kulit, daging dan urat. Sesungguhnya Allah akan menyempurnakan urusan agama ini. Islam akan memerintah dengan adil dan mewujudkan keamanan sehingga orang musafir dari Sana’a hingga Hadramaut dimasa itu penuh dengan perompak dan penyamun, hari ini mereka telah kembali. Bila Islam memerintah dunia dengan aman, sehingga seseorang itu tidak takut lagi melainkan kepada Allah, tetapi kamu orang yang gopoh, hendak menang dengan cepat”.
Setelah mereka diuji dengan ilmu dan pengalaman termasuklah pengalaman dizalimi dan dianiaya, maka berlakulah hijrah dan mendirikan negara Islam. Satu kewajiban yang besar dalam agama Islam iaitu kewajiban politik. Maka apabila negara itu tegar, maka berlakulah tentangan daripada musuh-musuh Islam, bukan sahaja pimpinan-pimpinan negara arab yang zalim yang merasakan kerajaan yang adil ini mencabar kekuasaan mereka. Maka, mereka mengumpul bala tentera mereka dan menyerang kerajaan Islam, kabilah arab dikalahkan. Dua kuasa besar dunia, Parsi dan Rom mengumpulkan bala tentera untuk menyerang agama Islam, maka Allah mewajibkan jihad untuk menentang kuasa besar dunia itu. Jihad ini mestilah dengan faham atau fiqh. Fiqah itu maknanya faham. Bukan hanya Fiqh Sembahyang, Fiqh Puasa, Fiqh Haji, Fiqh Zakat tetapi ia termasuklah Fiqh Jihad.
Walaupun dalam keadaan berperang menentang musuh-musuh yang mencerobohinya, Islam mewajibkan pujukan. Islam mengajak manusia dengan cara damai. Beriman kepada Allah dan tidak boleh memaksa penganut-penganut agama lain. Penganut agama lain dibenarkan berada dalam pemerintahan Islam, melakukan upacara ibadat mereka, melakukan syiar mereka, melakukan perkara yang dibenar dan dihalalkan dalam agama mereka, walaupun diharamkan oleh agama Islam. Kerajaan Islam dan umat Islam tidak boleh ganggu. Sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa yang mengganggu orang bukan Islam yang berada ditengah-tengah masyarakat Islam, maka dia menyakitiku. Dan aku akan menjadi pembelanya diakhirat kelak”. Ini adalah hadith Rasulullah SAW.
Apabila menghantar tentera Islam kerana hendak menghadapi bala tentera Rom dan Parsi yang besar, kerana mereka merasakan pemerintahan Islam mengancam mereka. Mereka yang memerintah itu menjadikan orang miskin dan petani sebagai abdi-abdi yg diperas. Keadilan Islam masuk ke dalam negeri-negeri yang bukan Islam kerana dalam hubungan antarabangsa, antara Islam dengan negara-negara lain walaupun ketika itu Islam bermusuh dengan negara lain, negara Islam tidak bermusuh dengan rakyat. Ini dinyatakan dalam Al-Qur’an.
Maka datanglah pedagang-pedagang daripada Rom , Parsi, China dan India ke negeri-negeri Islam. Dengan sebab itu masjid telah dibina di Beijing pada tahun ke 8 hijrah. Ini kerana hubungan dagang ia telah menyebarkan maklumat-maklumat kepada rakyat-rakyat negera bukan Islam. Bagaimana pemerintahan Islam membahagikan tanah kepada petani-petani, mempunyai hak milik tanah dan bukan dikuasai oleh golongan feudal yang menghantui masyarakat dunia pada masa itu. Itulah yang menyebabkan Rom dan Paris, dua buah kuasa besar dunia yang paling angkuh mengumpulkan bala tentera.
Namun dalam keadaan bermusuhan, Nabi Muhammad SAW, Khulafa’ Rasyidin, termasuklah dalam kerajaan ‘Umawiyyah, ‘Abassiyyah sehingga ‘Uthmaniyyah, walaupun ada dikalangan mereka yang zalim, tetapi mereka menyampaikan arahan kepada panglima-panglima tentera. Arahan itu daripada Al-Qur’an, “Dan perangilah orang yang memerangi kamu pada jalan Allah, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang-orang yang melampaui batas”. Sabda Rasulullah SAW kepada panglima dan sabda ini disampaikan oleh Khalifah yang kemudian daripadanya. “Ingat apabila kamu berperang, janganlah membunuh orang tua, janganlah membunuh kaum wanita, jangan membunuh kanak-kanak, jangan membunuh paderi-paderi yang ada dalam gereja mereka, jangan membunuh petani dan peniaga, jangan memusnahkan kebun-kebun, jangan membunuh binatang ternakan mereka, bila ada perjanjian, jangan menipu dan mengkhianat dalam perjanjian, jangan mencincang mayat yang sudah mati”. Ini diharamkan oleh Islam. Ini adalah nas.
Oleh kerana itulah, Islam menang dengan mudah. Menjatuhkan Parsi dan Rom, rakyat jajahan Parsi dan Rom di Iran hari ini, di Syiria, Lubnan, Palestin, Mesir, Egypt dan Utara Afrika. Mereka menganut agama Islam tidak dipaksa. Apa yang menarik, masih ada lagi gereja-gereja di Mesir, Syiria, Palestin. Di Mesir dan Utara Afrika, rumah-rumah api ibarat Majusi yang dibina sebelum lahir Nabi Muhammad SAW. Tidak dimusnahkan. Ketika Umar Al-Khattab RA dijemput oleh gabenor Baitul Maqdis untuk menyaksikan penyerahan Kota Maqdis. Gabenor yang berketurunan Parsi lebih rela berada dalam pemerintahan Islam daripada pemerintan Rom dan Parsi yang zalim. Umar Al-Khattab RA dijemput, diantara agenda lawatannya ialah melawat gereja. Umar RA masuk ke dalam gereja Baitu Laham, tempat lahir Nabi Isa AS. Hari ini masih lagi dikunjungi penganut agama Kristian seluruh dunia. Bila sampai waktu sembahyang, beliau hendak sembahyang. Umar berkata, “Saya mahu sembahyang dimana?” Kata paderi besar itu, “Sembahyanglah dalam gereja”. Kata Umar pula, “Tidak patut Umar solat disini, jika solat disini, orang akan kata, jika Umar solat disini maka orang akan roboh gereja dan bina masjid disini”. Ini kisah yg menarik.
Mengapa hari ini berlaku bakar gereka? Serang gereja? Ajaran apakah mereka belajar? Dimana mereka belajar? Ini puncanya kerana jahil tentang ajaran Islam. Khususnya dalam ajaran politik. Mereka beranggapan dalam Islam tiada politik. Sama dengan ajaran agama lain. Ini adalah penyakit umat Islam setelah Kerajaan Islam mengalami kelemahannya sebagaimana umur kerajaan yang ada dalam dunia. Kerajaan macam manusia juga. Ada masanya. Masa kanak-kanak yang baru membangun, masa remaja, masa dewasa, masa tua dan masa nyanyuk. Kerajaan Islam pun mengalami proses ini. Maka jatuhlah Kerajaan Islam. Negeri-negeri umat Islam dijajah oleh musuh-musuh Islam. Bukan sahaja dijajah, dipecah, dibahagi mengikut pecahan demografi seperti adanya Perjanjian Bangkok, Perjanjan Betawi yang membahagikan negera Islam. Ada negera Islam yang dijaja oleh British, yang dijaja oleh Perancis, Belanda, Italy, China, Rusia dan sebagainya.
Malangnya, penjajah yang menjajah negera Islam ini sangat fanatik. Tidak sama ketika zaman Islam memerintah negara lain. Zaman Islam memerintah, Islam tidak menindas kerana Nabi Muhammad SAW mengajar, “Kebijksanaan adalah barang tercicir kepunyaan orang beriman, dimana sahaja ia jumpa, ia mesti dipungut”. Bila Islam masuk ke China, ajak rakyat Cina masuk Isla. Jika tidak mahukan Islam, jangan paksa mereka. Mereka tidak mengganggu org Islam dan janganlah berperang. Ambil kebijaksanaan yang ada pada mereka. Maka Islam mengambil kebijaksanaan yang ada pada orang China, India, Rom, Parsi dan Greek. Islam telah berjaya mengislahkan ilmu.
Berlaku reformasi ilmu yang melahirkan Tamadun Islam. Tamadun yang menjadi asas kepada Tamadun Barat pada hari ini. Tapi malangnya, Barat hanya mengambil aspek kebendaan, aspek duniawi, materiaslistik dan menolak aspek spiritual. Maka lahirlah ilmu-ilmu yang tiada akhlak. Mencipta senjata pemusnah. Ubat-ubatan yang merosakkan manusia serta perancangan yang tamak haloba. Hari ini kita melihat kemusnahan Tamadun Barat. Islam perlu mengambil alih. Namun, apa yang menjadi masalah, umat Islam mengalami kesan penjajahan. Penjajahan yang fanatik ini tidak mengizinkan orang Islam kembali semula menghayati agama mereka sepertimana yang ada dalam Al-Qur’an. Melalui orientalis dan pengajiannya yang dihantar ke negera Islam. Dengan jelas, Snock Hougranje, oreintalis Belanda yang mengaji pondok di Indonesia dan pernah pergi ke Makkah kemudian balik semula ke Belanda. Dia telah menulis mengatakan bahawa yang membimbangkan dunia Barat ialah adanya ulama’-ulama’ dan pemimpin Islam yang membawa doktrin politik. Kalau orang Islam balik ke politik, ia akan menjadi bahaya. Maka mereka merancang sistem pendidikan yang boleh merosakkan orang Islam. Dalam kefahaman mereka, mereka menyekat pengajian Islam dan yang dibenarkan ialah Fardhu ‘Ain sahaja. Fardhu Kifayah yang terhad tidak dibenarkan orang Islam untuk mempelajari politik. Ini penyakit yang sedang melanda orang Islam.
Apabila mereka terpaksa memberi kemerdekaan kepada negera umat Islam. Mereka merancang lagi. Gabenor Inggeris di Mesir dan Sudan mengatakan, “Kalau mahu beri kemerdekaan kepada negeri-negeri umat Islam, maka berilah kepada anak-anak umat Islam yang mendapat didikan daripada Barat, dan kepalanya juga Barat, yang tidak mengizinkan politik Islam diamalkan dalam negara itu. Inilah yang mewarisi pemerintahan dunia Islam hari ini. Pada masa yang sama terdapat kumpulan yang melawan penjajah di Morocco, Mesir, Algeria, Tunisia, Libya yang terdiri daripada kumpulan-kumpulan Islam, ulama’-ulama’ yang mati di tali digantung, dipenjara dan dibuang ditengah Lautan Hindi dan di Lautan Pasifik. Kumpulan Islam yang dihukum termasuk dalam negara kita ini seperti Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbang, Tok Janggut, Raja Abdullah Perak yang dibuang ke Lautan Hindi.
Bila negara mencapai kemerdekaan dan diserahkan kepada orang-orang yang mereka ajar tiada politik dalam Islam. Namun demikian, Islam tidak boleh dimatikan. Akan wujud kumpulan-kumpulan Islam dan parti-parti Islam diseluruh dunia. Termasuklah PAS yang ditubuh oleh ‘ulama’-‘ulama’ walaupun pemimpin PAS ramai yang merengkok dalam tahanan British dan menerima hukuman zaman penjajahan. Bila negara mencapai kemerdekaan, pemimpinnya ialah kononnya pejuang-pejuang kemerdekaan dan mereka inilah juga pegawai-pegawai di zaman British. Mereka menjadi pejuang kemerdekaan jadian. Saat-saat British hendak menyerahkan negara pada tahun 1946 dan 1948, adakah orang Melayu menentang penjajah bermula pada tahun 1946? Sejarah menyatakan sejak 1511 lagi Portugis telah datang dan orang sini telah menentang penjajah. Bagaimana pula permulaan menentang penjajah bermula pada tahun 1946 ini?
Walaupun negara telah mencapai kemerdekaan selama 50 tahun, negara masih mengalami masalah-masalah yang besar. Kita berjuang untuk mengembalikan orang Islam kepada politik Islam. Alhamdulillah, hasil perjuangan kita, cakap-cakap mengenai agama suku dan politik suku sudah tiada lagi. Ini kejayaan politik kita. Tetapi, amalan politik suku, agama suku tetap masih ada lagi. Perjuangan kita belum selesai. Kita memerlukan kesabaran. Berdepan dengan golongan bukan Islam yang memerlukan kita melayan mereka dengan baik manakala berdepan dengan orang Islam memerlukan kita memujuk mereka kerana mereka baru bangun daripada tidur. Ini masalah yang kita hadapi kerana mereka yang bangun daripada tidur inilah yang bercakap Islam tetapi sasau dan tidak berapa faham. Kata-kata Islam sudah ada tapi tidak faham maksud. Inilah gejala yang kita alami pada hari ini. Disana ada perkara yang positif. Kita melihat orang Cina dan India boleh hidup dalam kalangan orang Melayu. Masyarakat Kristian boleh hidup dalam kalangan orang Islam di Mesir kerana akhlaq pemerintah Islam masih ada saki baki lagi.
Tetapi, masih ada yang membakar gereja. Ada yang serang kedutaan asing, yang meletupkan bom, membunuh orang tidak kira siapa atas nama Islam dan atas nama jihad. Ini kerana mereka tidak faham fiqh. Ini kerana mereka tidak mengaji Fiqh Jihad. Kewajiban kita pada hari ini sangat besar. Kewajiban kita mestilah lebih banyak menerang daripada menyerang. Ini urusan penerangan. Oleh sebab itu kita menamakannya Lajnah Penerangan dan bukannya Lajnah Penyerangan. Tujuannya adalah untuk menerang dengan bijaksana.


Sabda Rasulullah SAW, “Kami para Nabi diperintah oleh Allah supaya meletakkan orang kena pada tempatnya, dan bercakap kepada orang dengan bahasa yang difahami oleh mereka”. Hantarlah orang yang tepat dan boleh memahami masyarakat dan mestilah dibuat muhasabah. Tanggungjawab kita adalah menerang kerana kejayaan menyedarkan orang sangat besar pahalanya. Seorang yang dapat disedari mengikut ajaran Islam, pahala yang diberikan kepada penyedarnya adalah sehingga hari kiamat. Kewajiban penerangan sangat besar. Dalam keadaan kita bersemangat, kita mesti bijaksana. Disinilah apabila Nabi Musa AS diutuskan oleh Allah SWT kepada Fir’aun. Allah SWT berfirman, “Wahai Musa, pergilah berjumpa Fir’aun yang taghut dan melampaui batas. Bercakaplah dengannya Musa dan Harun dengan percakapan yang lembut, mudah-mudahan mereka menerima peringatan”.
Berlaku satu peristiwa, Khalifah Al-Makmun iaitu seorang Khalifah Abassiyyah yang terkenal. Ia disebut oleh Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin. Datang seorang menasihatinya dengan bahasa yang kasar. Al Makmun berkata dengan bijak dan dapat menahan kemarahannya. Kata Makmun, orang yang lebih baik daripadamu menasihati orang yang lebih jahat daripadaku dengan bahasa yang lebih baik daripada nasihatmu. Orang yang lebih baik daripadamu iaitu Nabi Musa AS. Adakah kamu lebih baik daripada Nabi Musa? Menasihati orang yang lebih jahat dari Fir’aun, takkanlah aku orang yang lebih jahat daripada Fir’aun? Ini mesti difahami. Disinilah apabila Nabi Musa AS berdoa kepada Allah SWT kerana berhadapan dengan kejahatan Fir’aun yang menyembelih anak-anak lelaki dan membenarkan anak-anak perempuan hidup sahaja dan mengabdikan kaum Bani Israel. Walaupun kita bermusuh dengan Yahudi, kita memuliakan rasul yang berbangsa Yahudi. Al-Qur’an mengajar begitu. Nabi Musa AS berdoa, “Dan berkatalah Nabi Musa, wahai Tuhan kami (Nabi Harun men’amin’kan dibelakangnya), Engkau telah kurniakan kepada Fir’aun dan pembesar-pembesarnya harta benda yang banyak. Dengan ini, Fir’aun telah menyesatkan manusia dari jalanMu. Wahai Tuhan, binasakanlah harta bendanya. Tutupkanlah pintu hatinya kerana mereka tidak beriman melainkan setelah mereka melihat azab yang pedih. Tuhan menjawab, “Doa kamu berdua wahai Musa dan Harun diperkenankan, syaratnya kamu mesti istiqamah. Dan janganlah kamu mengikut jalan mereka yang tidak mengerti”



Pertama mestilah istiqamah dengan mengikut jalan yang betul. Kedua jangan mengikut jalan mereka yang jahil dan bebal iaitu orang yang akan merasakan tidak akan menang sampai bila-bila. Ketiga ialah mereka yang mahu menang cepat dan laku dengan cara semborono. Begitu juga penceramah-penceramah, mesti betul faktanya dan bahasa yang baik. Allah SWT berfirman, “Jangan kamu berhujah, berdebat dengan golongan ahli kitab melainkan dengan cara yang baik. Melainkan dengan orang zalim dikalangan mereka” Ini adalah batas yang diajar dalam Islam. Kita mesti istiqamah.
Sekarang banyak ujian terhadap kita menyebabkan ramai orang tidak istiqamah. Zaman teknologi alam maya, zaman internet dan banyaknya bloggers. Maklumat cepat disebarkan. Ada maklumat yang betul dan ada maklumat yang salah sehingga menimbulkan masalah dalaman sendiri. Tugas penerangan sangat besar dalam perkara ini. Zaman teknologi maklumat ini menggegarkan parti-parti Islam diseluruh dunia. Bukan sahaja cabaran daripada luar bahkan cabaran dalaman. Gerakan Islam di Mesir, Jordan, Yaman, Indonesia dan di Pakistan menghadapi tempias teknologi maklumat yang menggegarkan kumpulan-kumpulan Islam. Alhamdulillah, PAS dapat istiqamah walaupun ada dikalangan kita kadang-kadang pening dengan teknologi maklumat ini. Ada yang baru kenal dengan teknologi maklumat. Tidur tidak cukup sehingga tulis pun tidak betul.
PAS mendapat kepercayaan daripada gerakan Islam. Satu perkara yang menarik. Allah SWT berfirman, “Dan adapun dengan nikmat Tuhan kamu,maka bercakap dengan nikmat Tuhan ini”. Ketika gerakan Islam lain sibuk dengan tempias teknologi maklumat, bercelaru dengan masalah dalaman masing-masing, kita diberikan kepercayaan untuk menyelesaikan masalah antarabangsa yang berlaku di Yaman, yang boleh mencetuskan perang dunia seperti Kosovo yang mencetuskan perang dunia pertama dan kedua. Di Yaman, berkumpulnya golongan Syi’ah Al-Husseyyiin, berkumpulnya golongan Al-Qaeda yang berundur dari Sa’udi dan Somalia serta lain-lain tempat turut berkumpul disitu. Juga terdapat golongan nasionalis di Selatan yang bermasalah dan ada tanda-tanda kuasa besar dunia yang mahu campur tangan.
Masyarakat Yaman adalah masyarakat berkabilah. Krisis yang berlaku di Yaman, melarat ke Arab Saudi dan boleh melarat ke rantau Asia Barat menyebabkan orang Islam lupa terhadap masalah yang dialami oleh rakyat Palestin. Lupa krisis yang berlaku antara nuklear Iran dan Israel. Double standard yang dilakukan oleh negara antarabangsa terhadap Iran walaupun Israel mempunyai reaktor nuklear sejak tahun 1960 dengan bantuan Perancis dan British serta perlindungan Rusia dan Amerika. Iran baru sahaja ingin bermula dengan teknologi nuklear. Israel dihalalkan walaupun untuk persenjataan, Iran pula diharamkan walaupun untuk awam.
Kita diminta oleh rakan Palestin dan rakan-rakan yang lain termasuk Al-Ittihaad ‘Alami Lil ‘Ulamaa’ Muslimin yang dipengerusikan oleh Dr Yusuf Qaradhawi supaya kita menghantar delegasi ke Yaman untuk bertemu dengan pihak-pihak yang berkenaan dan untuk meninjau perkara-perkara yang berlaku, kemudian melaporkan kepada NGO-NGO Islam antarabangsa khususnya Ittihaad ‘Ulamaa’ Muslimin dan Majma’ Takreem untuk menyelesaikan masalah bersama dengan OIC dan negara-negara anggotanya.
Walaupun PAS sebagai parti pembangkang, PAS diberi kepercayaan kerana dapat menangani rakan-rakan NGO dan parti politik yang mempunyai kuasa yang besar dalam politik Yaman. Ini kemajuan yang kita capai diperingkat antarabangsa dengan nikmat yang Tuhan beri bukan kerana perbadi yang pergi. Ini kerana PAS beroleh kepercayaan kerana PAS berjaya memerintah dua buah negeri yang dulunya tiga buah negeri. PAS pernah menjadi kerajaan negeri, pernah menjadi kerajaan peringkat pusat, pernah menjadi pembangkang yang kuat dan lemah. Parti yang mengalami masalah majmuk ketika berlakunya peristiwa 13 Mei dan PAS dapat mengawal ahli-ahlinya. Kita menyambung sejarah yang terdahulu dan mesti istiqamah dan jangan lari daripada landasan kita. Kita boleh bertahalluf dengan pihak-pihak yang lain. Kita boleh berbincang dengan pihak yang lain. Kita terbuka kerana dengan amalan demokrasi, kita mesti terbuka dan bukannya tertutup. Amalan demokrasi mestilah menarik penyokong dan pengundi yang teramai dan ia memerlukan keadaan yang terbuka dan positif.
Aktiviti penerangan yang dianjurkan pada hari ini adalah untuk menyuburkan minda, kefahaman dan pengalaman kita bagi menghadapi hari muka yang lebih mencabar. Hari muka ialah Islam mesti memimpin, menyelamat dan mewujudkan keamanan dan keadilan untuk manusia sejagat. Islam yang diajar oleh Allah ialah, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah mencipta kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenalan antara satu sama lain. Dan yang paling mulia antara kamu disisi Allah ialah yang paling bertaqwa”. “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada orang yang ahli dan apabila kamu menghukum antara manusia, hukumlah dengan adil”. Ini mesej yang wajib kita tunaikan. Kita adalah penyambung amanah dan pahalanya sangat besar jika kita menunaikannya dengan ikhlas. Kita dijanjikan kemenangan oleh Allah iaitu kemenangan dunia dan hari Akhirat.

Mudah-mudahan majlis ini diberkati oleh Allah SWT dan mudah-mudahan kita mendapat taufiq daripada Allah. Saya mengakhiri dengan sabda Rasulullah SAW, “Teruskan perjalanan dengan mendapat berkat daripada Allah SWT”
Assalamu’alaikum wrt wbt.

0 Komen:

Post a Comment


ADUAN MASALAH

Nama
Emel
Telefon
Aduan
Image Verification
captcha
Sila Masukkan Teks dari Imej Di Sebelah: [ Refresh Image ] [ What's This? ]

HANTAR ARTIKEL

Tajuk
Pengirim
Artikel
Image Verification
captcha
Sila Masukkan Teks dari Imej Di Sebelah: [ Refresh Image ] [ What's This? ]

DAFTAR DENGAN DEWAN PEMUDA PAS SHAH ALAM


Sila Isi Maklumat dibawah untuk mendaftarkan diri anda secara online dengan Dewan Pemuda PAS Kawasan Shah Alam. Khidmat anda amat diperlukan bagi memperteguhkan perjuangan yang mulia ini.
Nama
Emel
Alamat (R)
Alamat (P)
Telefon
Status
Perancangan
Blog/Website
Image Verification
captcha
Sila Masukkan Teks dari Imej Di Sebelah: [ Refresh Image ] [ What's This? ]