Bendahari Umno Hulu Selangor, Datuk Zainal Abidin Sakom ketika dihubungi berkata calon BN itu akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 April ini, jam 4 petang bertempat di markas BN, Bukit Sentosa di Bukit Beruntung.
Lazimnya, BN seringkali mendahului pembangkang dalam menamakan calonnya tetapi kali ini menjelang tempoh kurang 48 jam seperti yang dijanjikan, siapa yang bakal mewakili mereka terus menjadi tanda tanya.
Sumber tertinggi dari MIC, petang tadi, mengesahkan bahawa Muhyiddin akan menamakan Timbalan Ketua Pemuda MIC, V Mugilan sebagai calon di kerusi Hulu Selangor.
Mereka tetap mahukan Timbalan Presiden G Palanivel mewakili BN bagi merampas Hulu Selangor.
Menurut beliau lagi, ketika mesyuarat malam semalam di Parlimen, presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dilaporkan bertikam lidah dengan Muhyiddin berhubung pemilihan calon BN itu.
Sumber itu berkata Muhyiddin berkata Mugilan (kanan) adalah pilihan pemimpin BN tetapi pemimpin MIC yang hadir kurang menyenangi keputusan itu.
“Samy Vellu mempertahankan pemilihan MIC yang mahukan Palanivel dan ini menyebabkan mesyuarat menjadi hangat,” kata sumber itu.
Presiden MIC itu dilaporkan tidak mahu berganjak dengan pilihan partinya kerana persetujuan dikatakan telah dicapai antaranya dengan pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.
Dalam pada itu, ketua bahagian MIC, Puchong yang juga anggota jawatankuasa pusat parti itu, A Saktivel berkata satu sidang akhbar akan diadakan esok.
Beberapa penyokong akar umbi yang tidak mahu identiti mereka didedahkan juga mengugut tidak akan keluar mengundi dan membubarkan jentera parti jika calon pilihan MIC tidak dipilih.
Khabar angin juga tersebar bahawa beberapa cawangan Umno juga sedang melobi pada minit terakhir bagi menyokong Mugilan.
Mugilan dilahirkan di estet Kerling, Hulu Selangor dan adalah seorang ahli perniagaan.
0 Komen:
Post a Comment