Laman web APCO sendiri menunjukkan siapa sebenarnya yang terlibat dengan syarikat ini yang dibayar RM 23 million duit rakyat oleh Perdana Menteri Najib Razak untuk mengendalikan “strategi komunikasi” dan “membina imej” negara.
Ahli lembaga APCO termasuk dua bekas duta Israel – Shimon Stein (bekas duta kepada Jerman), dan Itamar Rabinovich (bekas duta kepada Amerika Syarikat) – serta Doron Bergerbest-Eilon, bekas ketua keselamatan Agensi Keselamatan Israel (Israeli Security Agency, ISA) yang lebih dikenali sebagai Shabak atau Shin Bet. Jawatan ini adalah bersamaan dengan pangkat Mejar Jeneral dalam tentera Israel.
Shin Bet bertanggungjawab menjaga keselamatan dalam negeri Israel, termasuk menghadapi intifada Palestin. Semasa intifada al-Aqsa, Shin Bet memainkan peranan untuk mengenalpasti identiti dan lokasi pemimpin-pemimpin Palestin yang dijadikan mangsa pembunuhan oleh serangan udara tentera Israel.
Shin Bet turut terkenal dengan kaedah-kaedah menyeksa tahanan mereka semasa soal-siasat. Seorang wartawan Palestin, Mohammed Omer, mendakwa beliau ditahan oleh Shin Bet pada tahun 2008 dan dibogelkan, dibelasah oleh lapan pegawai Shin Bet yang bersenjata – mengakibatkan beliau terpaksa dirawat seminggu di hospital. Makhamah Tertinggi Israel sendiri memutuskan bahawa kaedah-kaedah soalsiasat Shin Bet berketerlaluan, melanggar hak asasi manusia, dan bersifat menyeksa.
Penglibatan Shin Bet dengan APCO tidak terhad kepada satu individu. ASERO merupakan sebuah syarikat adik-beradik kepada APCO yang berkait rapat secara terbuka dengan APCO dan mempunyai pengkhususan dalam hal-hal keselamatan dalaman negara. Selain Doron Bergerbest-Elion, tiga lagi pemimpin utama ASERO adalah bekas pegawai berpangkat tinggi Shin Bet – David Harel, Oded Raz, dan Gadi Kalai.
Selain itu, Naib Presiden ASERO Carl Truscott, dan penasihat ASERO, Don Riegle Jr, adalah bekas ahli kerajaan Amerika Syarikat yang didapati bersalah menyalahgunakan kuasa mereka semasa berkhidmat.
APCO dan ASERO seumpama satu keluarga, dengan pemimpin-pemimpin yang sama. Doron Bergerbest-Eilon adalah presiden ASERO, manakala Mara Hedgecoth – anak kepada Margery Kraus, Presiden APCO – merupakan Naib Presiden di kedua-dua APCO dan ASERO. Denise Teeling pula, adalah Ketua Kewangan (CFO) bagi kedua-dua APCO dan ASERO juga. Menurut laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Denise Teeling dan Margery Kraus adalah direktor APCO Worldwide Sdn Bhd, yang ditubuhkan di Malaysia.
Mengapakah sebuah syarikat dengan kaitan yang amat rapat dengan elemen-elemen Zionis dan dipimpin oleh individu yang terlibat dengan organisasi yang terkenal kerana menyeksa orang Palestin diberi peluang membentuk dasar-dasar sensitif Malaysia?
Dengan pengupahan APCO, pengaruh Zionis, penyeksa serta mereka yang handal menyalahgunakan kuasa kerajaan kini telah dibenarkan menentukan hala tuju negara, serta kini mempunyai akses kepada semua peringkat kerajaan – termasuk maklumat yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan kepentingan negara. Tidak membimbangkan ke, Ketua Kewangan ASERO, Denise Teeling, yang bekerja untuk bekas pegawai Shin Bet, terlibat secara terus dengan operasi APCO di Malaysia?
Selain daripada Israel dan Amerika Syarikat, kepada pengaruh siapakah Malaysia kini dibukakan? Di antara pemimpin ASERO satu-satu individu yang bukan warganegara Amerika, UK atau Israel adalah Kelvin Tan Wee Peng – seorang bekas polis Singapura.
Apakah Perdana Menteri Najib sanggup menggadai masa depan dan kedaulatan negara hanya demi mereliasasikan cita-cita politiknya?
APCO tidak hanya terlibat dengan aktiviti Zionis dan pencabulan hak asasi sahaja, malah juga dengan aktivisme anti-Islam.
Jonathan Winer merupakan Naib Presiden APCO di Washington DC. Pada 2003, Winer memberi keterangan di Jawatankuasa Senat Amerika Syarikat di mana dia menuduh gerakan Ikhwan Muslimin (Muslim Brotherhood) serta beberapa badan kebajikan Islam sebagai pengganas, dan berusaha untuk menghentikan segala aktiviti kewangan badan-badan ini.
Marc Ginsberg pula, ahli lembaga APCO dan bekas duta Amerika Syarikat, memanggil tokoh pemikir Islam Sayyid Qutb (inspirasi kepada Ikhwan Muslimin dan penulis karya Ma’alim fil Tariq dan Fi Zilal al-Qur’an) seorang “musuh” dan membandingkan beliau dengan Adolf Hitler.
Siapa sebenarnya di merata dunia yang sanggup mengupah syarikat yang dipimpin oleh mereka yang berusaha menentang Islam dan menyemai kebencian?
Klien-klien dan bekas klien APCO termasuk beberapa ‘tokoh’ yang cukup terkenal. Di antaranya adalah Jeneral Sani Abacha, yang mencuri hampir RM 10 billion duit rakyatnya semasa presiden Nigeria. Jeneral Abacha turut dikenali kerana pencabulan hak asasi manusia yang cukup parah, termasuk penahanan dan pembunuhan aktivis-aktivis.
Nursultan Nazarbayev, diktator Kazakhstan yang didakwa bersama keluarganya terlibat dalam rasuah yang cukup besar serta beberapa pembunuhan, turut merupkan seorang klien APCO. Di antara strategi APCO adalah untuk “membeli” beberapa laporan dari institusi pengajian tinggi untuk mengharumkan nama Kazakhstan di Barat.
Narenda Modi pula, Ketua Menteri Gujarat di India yang dikatakan membiarkan rusuhan kaum berlaku antara rakyat Hindu dan Muslim, mengakibatkan hampir 2,000 kematian – kebanyakannya Muslim – juga pernah mengupah APCO untuk mengharumkan balik imejnya.
Beginilah senarai pemimpin yang kini disertai oleh Perdana Menteri Najib, yang seandainya tidak mengenal malu.
Adakah ini sebuah pengakuan diam bahawa Perdana Menteri mempunyai beberapa kesamaan dengan pemimpin-pemimpin yang dituduh berasuah dalam negara kaya dengan minyak, gagal menghentikan konflik perkauman, serta mengakibatkan kematian?
Keputusan Perdana Menteri untuk membuka Malaysia kepada pengaruh Zionis dan anti-Islam serta berganding bahu dengan para perasuah yang paling parah di dunia harus dipertikai oleh setiap rakyat yang cintakan Malaysia.
Sekiranya Perdana Menteri masih berdegil dengan mengekalkan kontrak APCO ini, maka tergadailah negara dan terjejas keselamatan serta maruah kita semua. Kita hanya boleh harap kita masih belum terlambat.
Berikut adalah senarai beberapa sumber maklumat untuk artikel ini:
www.apcoworldwide.com
www.asero.com/index.cfm
www.wikipedia.org
www.harpers.org
0 Komen:
Post a Comment