GOMBAK, 22 Ogos: Dewan Pemuda PAS Pusat akan mengadakan konvensyen sosial kebangsaan akhir November ini sebagai lanjutan kepada sidang meja bulat mengenai gajala sosial yang berlangsung hari ini.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, keputusan itu dipersetujui sebulat suara oleh wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menghadiri sidang meja bulat dekat sini, siang tadi.
Katanya, isu berkenaan bukan satu isu yang mudah untuk diselesaikan kerana membabitkan banyak pihak khususnya kerajaan dan tidak hanya terhenti di persidangan meja bulat sahaja.
"Setelah perbincangan diadakan dengan wakil-wakil NGO yang hadir hari ini, kami dapati gejala zina, buang bayi dan rogol ini berkait rapat dengan gejala lain seperti ketagihan dadah, sistem pendidikan dan sosial negara, dan satu isu yang sangat besar untuk dibincangkan.
"Jadi kami dapati bahawa sidang meja bulat bukan satu medium yang menepati objektif yang ingin kita capai mengenai gejala negatif ini.
"Oleh sebab itu kita telah bersetuju mengadakan konvenyen sosial kebangsaan supaya isu ni boleh dibincangkan dengan lebih serius lagi," katanya pada sidang media selepas berakhirnya sidang meja bulat di Anjung Rahmat, dekat sini.
Mengulas mengenai hasil perbincangan meja bulat yang dihadiri sebelas NGO itu, Nasrudin berkata, kerajaan harus mengkaji dan menilai semula sistem pendidikan di negara ini yang telah digunakan hampir 50 tahun sejak kemerdekaan.
Katanya, sistem pendidikan yang ada pada hari ini seharusnya boleh melahirkan masyarakat yang tinggi akhlak dan sahsianya, bukan semata-mata cemerlang dalam bidang akademik sahaja.
Kerajaan katanya perlu memberi perhatian serius terhadap sistem pendidikan agama dan moral terhadap remaja termasuk memberikan penekanan terhadap sekolah agama rakyat yang tidak mendapat perhatian yang sewajarnya selama ini.