Mereka juga berdoa agar negara ini diselamatkan daripada dimusnah oleh BN. Selain itu orang ramai juga berdoa agar Pakatan Rakyat diberi kemenangan dalam menangani beberapa 'serangan' seperti yang berlaku di Selangor dan juga bidasan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipalitkan dengan dakwaan meliwat.
"Kita bersama MB Selangor, Khalid Ibrahim akan mempertahankan Selangor daripada BN," kata naib pengerusi PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ucapan pembukaannya.
Majlis berkenaan bermula sekitar jam 7 petang yang menyaksikan orang ramai menunaikan solat Maghrib berjemaah dan diikuti dengan ceramah oleh timbalan mursyidul am pas, Datuk Harun Din.
Selain Nik Aziz, turut bersama adalah Anwar, presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya, Nasharudin Mat Isa, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan timbalan presiden PKR, Azmin Ali.
Solat Isyak dan solat hajat perdana diimamkan oleh Hadi juga dengan harapan agar Allah SWT menyelamatkan Malaysia dan Selangor termasuk isu ketidak-adilan yang berlaku di dalam perbicaraan Anwar.
Katanya, apa yang menimpa Selangor hari ini bukan perkara baru, malah PAS sudah menghadapinya sejak tahun 1959 lagi.
"Kita mesti bersabar dan kami dalam PAS telah lama alami keadaan ini.
"Kita berpengalaman sejak tahun 1959 apabila kerajaan PAS Terengganu diguling sebelum kita ambil balik pada tahun 1999," katanya .
Menurut Hadi yang juga bekas menteri besar Terengganu, pengalaman sama turut menimpa kerajaan PAS Kelantan, apabila diguling pada tahun 1978 dengan menggunakan Akta Darurat pada waktu itu.
Namun PAS Kelantan kemudiannya bangkit semula dan berjaya merampas negeri itu pada tahun 1990.
Terbaru pula jelasnya, rakyat dipertonton dengan tragedi rampasan kuasa kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Perak pada tahun 2009.
Beliau yang juga ahli pParlimen Marang, mahu rakyat tahu bahawa tindakan merampas negeri secara zalim, adalah strategi orang yang lemah.
"Cara begini bukan kekuatan, menipu ini satu kelemahan, tindakan tidak bijak dan tidak pandai.
"Dan sekarang mereka tunjuk lagi perangai itu," katanya.
Namun apa yang penting menurut Hadi, Pakatan Rakyat perlu melangsungkan perjuangan dengan konsisten dan bersabar.
Perjuangan tersebut katnya, perlu dibuat pada landasan yang betul dan jangan terpesong atau mengikut golongan yang tidak mengerti.
"Ini bukan janji PAS, bukan PKR, tapi ini janji Allah dalam al-Quran.
"Teguhkan ikatan ini, perbetulkan cara bertindak kita. Insya Allah, Tuhan akan memberikan kemenangan kepada kita dalam pilihan raya umum ke-13 nanti," katanya.
Laungan takbir Allahu Akbar berkumandang bagi menyemangati semula suasana himpunan perjuangan Islam yang sememangnya merupakan sumber kekuatan gerakan umat Islam dalam negara selama ini.
Anwar dalam pidatonya pula berharap pimpinan kerajaan negeri Selangor tidak hilang fokus dan terus menambah serta memperbaiki khidmat biarpun teruk diasak, khususnya dalam kes pelantikan setiausaha kerajaan negeri (SUK).
“Kerana kalau tunduk kepada muslihat mereka. Ini menyebabkan kita asyik bertahan. Mengapa kita perlu asyik bertahan, kuasa di tangan kita di Selangor, rakyat Selangor bersama kita. Kita lawan Umno di Selangor. Lawan Tetap Lawan!" laung Anwar di ribuan hadirin.
Katanya, Pakatan Rakyat perlu sentiasa bersedia lantaran negeri Selangor merupakan idaman Umno yang sehingga kini masih gagal menawan kembali negeri terkaya di Malaysia ini.
"Dalam ucapan kita sebelum peralihan kuasa dari Tun AbdullahBadawi kepada Datuk Seri Najib, kita ingatkan kita akan hadapi tindakan lebih rakus dari dulu. Ternyata apa yang berlaku membuktikan andaian tersebut.
“Selangor dianggap mutiara bagi Umno. Mereka berkuasa di pusat tapi masih lemas kerana tiap hari dia terpaksa lalu Selangor. Nak pergi ke pelabuhan, nak pergi lapangan terbang, jadi dia tak boleh tahan," kata Anwar.
Justeru, Anwar mahu Pakatan Rakyat berpegang jelas dengan prinsip Pakatan Rakyat yang mendaulatkan institusi diraja, serta menjunjung Perlembagaan Negara dan tidak goyah walaupun diserang dan difitnah bertubi-tubi oleh Umno dari semua hala.
"Soal derhaka. Semua orang tahu. Baca semua ucapan Presiden Umno tatkala meminda perlembagaan. Kasar, tiada pertimbangan. Orang ini nak ajar kita tentang taat? Tak payah defensif. Tak payah apologetik. Mengadap ke bawah Duli Tuanku. Beritahu pendirian kita.
“Pendirian DAP, PKR dan PAS. Pertahankan Perlembagaan. Pertahankan Bahasa Melayu. Islam agama Persekutuan dan Kedaulatan Raja-Raja. Itu pendirian kita, tak payah jelaskan kepada Umno ini pendirian kita," kata Anwar lagi.
0 Komen:
Post a Comment