Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Dato' Mohamad Adzib Mohd Isa dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Dato' Mohamad Khusrin Munawi seharusnya melepaskan jawatan yang mereka sandang kerana rakyat Selangor meragui kewibawaan mereka.
Kewibawaan mereka tercemar kerana mereka berdua tidak dilihat bertugas untuk menjaga kesucian agama Islam, sebaliknya lebih mirip menjadi agen Umno dalam Kerajaan Negeri Selangor.
Tanpa harus dinafikan, keseluruhan pemimpin, ahli dan penyokong Pakatan Rakyat tidak menyenangi mereka berdua, kerana cara mereka memimpin Mais dan Jais, bagaikan cawangan Umno.
Di atas kapasiti Kedua-dua mereka adalah memegang jawatan tertinggi dalam institusi agama, di mana Sultan Selangor selaku Ketua Agama Negeri.
Maka mereka mengambil kesempatan untuk membuat pelbagai larangan terhadap institusi agama, khususnya masjid dan surau, kononnya Sultan tidak membenarkan, kononnya Sultan murka dan sebagainya.
Khusrin secara spesifiknya dalam suatu majlis meraikan Tokoh Maal Hijrah, Sheikh Dr Yusof al-Qaradhawi di Masjid Negeri Shah Alam, melarang Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor, Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk berucap.
Walhal, Anwar bukan hendak berceramah agama, beliau hanya dijadualkan berucap untuk menerangkan latar belakang mengenai ketokohan Dr Yusof yang dikenalinya puluhan tahun.
Perangai Khusrin bukannya baru. Beliau menjadi Pengarah Jais sejak sekian lama. Di zaman bekas Menteri Besar, Dato' Seri Mohamad Khir Toyo, beliau adalah dalang Umno.
Ada banyak kes, antarannya perobohan Surau Jubli Perak, Bandar Baru Bangi, Surau al-Rahimah, Shah Alam, Surau Kampung Berembang dan lain-lain.
Banyak kes Jais menghalang Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berceramah di masjid dan surau, pengepungan Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din, ramai tokoh ulama PAS dilarang. Terbaru, bekas Mutfi Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin, didakwa berceramah tanpa tauliah.
Jelas, karenah kedua-dua mereka, secara langsung mengganggu pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan sekali gus redundant tugas Exco Agama, Dato' Dr Hasan Mohamed Ali.
Terbaru, Adzib berkata, Sultan Selangor amat murka dan dukacita terhadap tindakan Surau al Huda, Taman Kajang Central yang membenarkan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching memberikan 'tazkirah' di situ.
Beliau mengarahkan Mais mengambil tindakan tegas terhadap surau itu, termasuk mengambil alih surau dan menguruskan pentadbirannya dengan serta-merta kerana insiden itu jelas bertentangan dengan titah Sultan Selangor.
Tindakan Adzib ini mendapat reaksi segera Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar.
Mahfuz membuat suatu teguran keras terhadap Mais, berhubung tindakan pantas badan tersebut yang kelihatan begitu marah, dengan lawatan Ahli Parlimen Serdang ke Surau al-Huda.
Mahfuz turut membidas akhbar Utusan Malaysia, dalam laporannya 27 Ogos lalu mendakwa Nie Ching memasuki ruang solat Surau Al-Huda dalam satu majlis penyampaian bantuan kepada "ahli-ahli PAS".
Katanya, laporan akhbar itu adalah bohong, berniat jahat dan cuba memburukkan imej PAS.
Mahfuz dengan tegas mendakwa Umno telah mendalangi Mais dengan memberi maklumat salah kepada Sultan Selangor sehingga Tuanku didakwa murka.
Tiada sebarang tazkirah yang didakwa disampaikan Nie Ching, melainkan sekadar ucapan lima minit selepas dijemput berucap oleh AJK surau.
"Saya berani mengatakan bahawa, Mais telah didalangi Umno, menipu pihak Istana.
"Memang tidak ada tazkirah, tidak ada ucapan berkaitan politik dan bukan memberi sumbangan kepada ahli PAS," tegas Ahli Parlimen Pokok Sena tersebut.
Katanya, tindakan Umno mempengaruhi Mais amat merugikan Islam apabila masyarakat bukan Islam mungkin berpandangan mereka tidak boleh lagi memasuki masjid atau surau.
Sedangkan kata Mahfuz, itu merupakan salah satu cara dakwah kepada bukan Islam dan sememangnya dibolehkan seperti diputuskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 lalu.
"Kalau tindakan itu salah, Mais bukan kena hantar surat amaran kepada Ahli Parlimen Serdang, tetapi kena hantar juga kepada Majlis Fatwa Kebangsaan," katanya.
Maknanya, dari sudut Islam, tidak salah golongan bukan Islam memasuki masjid atau surau. Ini jelas tiada pertikaian.
Merujuk hal ini penulis mengimbau kembali, tatkala menghadiri program ceramah pendakwah terkenal al-Marhum Sheikh Ahmad Deedat, di sebuah universiti beberapa tahun lampau.
Dalam ucapannya Sheikh mempertikaikan peranan institusi masjid. Beliau mempersoalkan mengapa masjid-masjid (termasuk surau) di Malaysia, menyukarkan golongan bukan Islam untuk memasukinya.
Kata Sheikh, masjid adalah tempat yang baik untuk berdakwah dan seharusnya kita (umat Islam) memberi ruang seluas-luasnya kepada bukan Islam untuk masuk, sekali gus membuka ruang kepada kita untuk berdakwah.
Merujuk isu Nie Ching. Barangkali beliau membuat kesalahan kerana tidak menutup kepalanya, tetapi melemparkan pelbagai kecaman, tuduhan dengan kata-kata nista terhadap beliau adalah amat tidak islamik.
Kecaman terhadap Nie Ching adalah amat salah. Kita harus membuka ruang kepada bukan Islam untuk mendekati masjid dan surau kita. Selain daripada mengharapkan hidayah Allah, sekurang-kurangnya golongan bukan Islam akan merasakan kebaikan umat Islam dan ini akan mendorong mereka lebih hampir kepada Islam.
Apa yang dilakukan oleh Umno dan Mais ini hanya menunjukkan Islam itu buruk dan tidak toleran. Tindakan ini hanya akan menjauhkan golongan bukan Islam dengan masjid dan surau.
Jika selepas ini Nie Ching dan rakan-rakannya akan takut mendekati masjid dan surau kerana takut dengan kecaman Umno. Jelas, tindakan tidak rasional ini telah menyebabkan peluang untuk berdakwah tertutup.
Salahnya di sini adalah Mais. Mereka cuba menjadi lebih Umno daripada Umno. Mais menunjukkan dengan jelas bahawa mereka adalah cawangan Umno di Selangor
Di Selangor, selama lebih dua tahun, rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat cukup meluat dengan cara Adzib dan Khusrin mentadbir Mais dan Jais.
Kedua-dua institusi ini, bukan sahaja menjalankan peranan Umno mereka, malah dalam beberapa ucapan mereka sering membuat pelbagai larangan terhadap masjid dan surau atas nama Sultan.
Apa yang didakwa Mahfuz relevan dengan keadaan semasa di Selangor. Jelas Mais dan Jais memperalatkan golongan Istana untuk kepentingan Umno.
Sehingga wujud persoalan di minda rakyat, apakah Pengerusi Mais atau Pengarah Jais memberikan nasihat yang salah kepada Sultan Selangor.
Nasihat yang salah kerana sepatutnya mereka menasihati Sultan berdasarkan hukum agama, bukan kehendak politik Umno-BN. Sebagai Ketua Agama Negeri, sudah tentunya Sultan akan mematuhi semua hukum hakam yang ditentukan Allah SWT dalam al-Quran.
Secara spesifik dalam kes Nie Ching, jelas Adzib telah salah menasihati istana. Adzib tidak menjalankan tindakan mengikut hukum Islam, tetapi beliau dengan jelas mengikut telunjuk Utusan Malaysia yang menjadi akhbar talibarut Umno.
Adzib dan Khusrin dalam banyak kes sebelum ini menunjukkan dengan jelas bahawa mereka adalah alat Umno yang menjadi 'duri dalam daging' dalam Kerajaan Pakatan Rakyat.
Ada banyak kes yang membabitkan keduanya direkodkan dan akan disenaraikan satu-persatu, buat menjadi bukti salahlaku mereka dalam menjalankan urustadbir institusi agama.
Oleh itu jika Khalid Ibrahim dan Hasan Ali tidak mahu terganggu, demi keharmonian Islam serta rakyat di seluruh Selangor, kedua-dua Adzib dan Khusrin, harus diminta melepaskan jawatan dengan segera! |
0 Komen:
Post a Comment