LAMAN

Wednesday, February 3, 2010

Letak jawatan tidak cukup, guna Akta Hasutan - MCA

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 3 Feb: Kemarahan pelbagai pihak terhadap Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar tidak berhenti walaupun beliau telah diminta meletakkan jawatan oleh bosnya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Kiat berkata, kerosakan telah dibuat oleh Nasir dan ia perlu disiar dan diambil tindakan disiplin termasuk menggunakan Akta Hasutan.
"Apa yang sangat dikesalkan lagi adalah kenyataan ini dibuat dalam majlis anjuran JASA tentang konsep 1Malaysia," kata Ong Tee Kiat.
Pengerusi Biro Perhubungan MCA, Datuk Ti Lian Ker juga mendesak agar Nasir disiasat di bawah Akta Hasutan dan diambil tindakan sebagaimana rakyat biasa yang lain.

Ini kerana kenyataan beliau itu sangat sensitif dan merupakan satu kenyuataan provokasi kepada rakyat pelbagai kaum di negara ini.


Kenyataan Nasir nampaknya membayangkan sikap sebenar Umno dan pentadbiran negara terhadap konsep 1Malaysia yang dikemukakan Perdana Menteri itu.

"Kalau sebelum ini, timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyidin Yassin) juga dilihat berbeza dengan pendirian Najib, kini Pegawai Khas Najib sendiri  sudah jelas tidak bersama konsep 1Malaysia beliau," kata seorang pemerhati politik ketika mengulas kejadian ini.

Dalam kejadian di Melaka semalam, Nasir telah menyifatkan orang Cina dan India di negara ini sebagai pendatang dan kerajaan (Umno) boleh menarik taraf kerakyatan mereka bila-bila masa-masa.

Nasir juga didakwa berkata, orang Cina khasnya wanitanya datang ke Malaysia untuk menjual tubuh.

Ekoran kenyataan beliau itu, ramai peserta program anjuran JASA itu meninggalkan majlis.

Sekurang-kurang 12 laporan polis dibuat ke atas Nasir berhubung kenyataannya itu.

Menurut Pengarah Siasatan Jenayah, Datuk Mohd Bakri Zinin, semua 12 laporan itu dibuat di seluruh negara dan beliau memberi jaminan siasatan terperinci akan dijalankan.

Ditanya samada Nasir akan ditahan atau diheret ke mahkamah berhubung kenyataannya itu, Mohd Bakri berkata adalah terlalu awal untuk mengulas sementara siasatan dijalankan.

No comments:

Post a Comment