Harakahdaily
SHAH ALAM, 16 Jan: Kerajaan Negeri Selangor akan membantu lima kawasan perumahan bertingkat kos rendah untuk membaiki lif-lif yang rosak, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad.
Katanya, ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kualiti kehidupan penduduk rumah kos rendah yang diumumkan di dalam Bajet untuk tahun ini.
Tambahnya, untuk fasa kedua, lima lagi kawasan akan dikenal pasti untuk dibaiki.
“Skim ini akan dilaksanakan melalui konsep perkongsian kos (cost sharing) di antara penduduk dan kerajaan negeri,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, di sini hari ini.
Beliau berkata, peratusan perkongsian adalah menurut kemampuan penduduk.
Menurutnya lagi, pihak berkuasa tempatan telah diarah untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang memerlukan secepat mungkin.
Katanya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan menguruskan kerja-kerja membaiki itu.
Sementara itu, Iskandar akan menghadiri satu majlis kesyukuran anjuran penduduk pangsapuri Seri Cempaka, Bukit Sentosa, Hulu Selangor, esok bersempena kejayaan membaik pulih bumbung-bumbung pangsapuri.
Pada majlis yang dijadualkan bermula jam 1.30 petang itu, di samping melawat sekitar pangsapuri yang bumbungnya telah siap dibaik pulih, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada golongan miskin.
No comments:
Post a Comment