Pendedahan bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST, Datuk Kadir A Jasin
(gambar) bahawa Perdana Menteri mempunyai 11 pegawai media mengejutkan banyak pihak walaupun ia sebelum ini bukan menjadi rahsia di kalangan pengamal media.
Bilangan pegawai media ini amat mengejutkan kerana semasa Tun Dr Mahathir, beliau hanya mempunyai tiga pegawai media sahaja.
"Seorang pegawai media Perdana Menteri berkata, PM ada 11 pegawai media yang terdiri daripada bekas pengarang, wartawan kanan dan eksekutif TV. Paling ramai Dr Mahathir ada sepanjang jadi PM adalah tiga," tulis Kadir dalam blognya.
Menurut sumber antara nama besar di kalangan pegawai media Najib adalah Datuk Seri Farid Redzuan (bekas CEO TV3), Datuk Khalid Mohamad (bekas Ketua Pengarang kumpulan Utusan) dan Jalil Abdul Hamid (bekas Timbalan Ketua Biro Reuters Malaysia).
Di samping mereka bertiga ada Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad (Setiausaha Akhbar PM), Datuk Seri Jalaludin Bahaudin (Penasihat Media PM), Datuk Hardev Kaur (bekas Timbalan Ketua Editor Kumpulan NST yang kini menjadi Pegawai Khas PM).
Menurut maklumat yang Harakahdaily terima, Jalil bersama dengan Datuk Khalid kini menyertai Pasukan Komunikasi Kebangsaan (National Communication Team) yang berpejabat di Boulavard, Mid Valley.
Datuk Seri Farid Ridzuan pula dikatakan dipinjamkan ke Pejabat PM untuk tugasan khas berkaitan dengan belia termasuk menguruskan media baru.
Datuk Hardev Kaur adalah penasihat khas Najib selaku Menteri Kewangan.



Menurut sumber, pasukan penasihat yang bertugas bersama APCO sebelum ini masih bertugas dengan pejabat Perdana Menteri.
"Kesemua mereka masih bertugas cuma bukan atas nama APCO lagi sekarang," kata satu sumber kepada Harakahdaily.
(Tiga tokoh media yang kini menjadi pegawai media PM. Dari kiri Datuk Khalid Mohd, Datuk Hardev Kaur dan Datuk Seri Farid Ridzuan)
Ada juga yang memaklumkan, gaji mereka semuanya amat besar iaitu kira-kira sama dengan gaji yang mereka dapat ketika bertugas dengan jabatan mereka sebelum ini.