KENYATAAN MEDIA
Isnin 31hb Mei 2010
GESAAN KEPADA KERAJAAN DAN RAKYAT MALAYSIA MENGUTUK SERANGAN ISRAEL KE ATAS FLOTILA MISI BANTUAN KEMANUSIAAN LL4G KE GAZA
Perkembangan terkini flotilla Lifeline4Gaza;
1. Sebagaimana yang dimaklumi 7 buah kapal yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza sedang belayar menuju ke perairan Gaza melalui Laut Mediterranean. Konvoi ini diketuai oleh sebuah NGO daripada Turki iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH). Maklumat terkini ialah kapal induk Mavi Marmara telah diserang oleh angkatan laut Israel. Akibat dari tindakan biadap ini 3 orang sukarelawan telah terkorban dan 30 lagi mengalami cedera parah.
2. Seramai 12 orang sukarelawan bersama-sama petugas media daripada Malaysia turut menyertai konvoi bantuan kemanusiaan ini. Mereka berada di atas kapal “Mavi Marmara”. Penyertaan mereka bersama konvoi ini adalah semata-mata atas dasar kemanusiaan.
3. Semua objektif dan pergerakan konvoi ini adalah berpandukan kepada Resolusi 1860 (2009) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang maritim lain yang berkaitan.